Bandar Qingdao di China catat setengah juta kes Covid-19 sehari, lapor pegawai


Timbalan Pengarah Kesihatan Perbandaran di Qingdao, Bo Tao melaporkan bandar di timur itu menyaksikan "antara 490,000 dan 530,000" kes baharu Covid-19 sehari. – Gambar fail AFP, 24 Disember, 2022.

DIANGGARKAN setengah juta penduduk di sebuah bandar di China dijangkiti Covid-19 setiap hari, kata pegawai kesihatan kanan republik itu. Ini menggambarkan gelombang jangkitan di negara itu tidak ditunjukkan dalam statistik rasmi.

China bulan ini menarik balik polisi utama negara itu berkaitan sifar Covid-19, tidak melaksanakan “lockdown” segera, kuarantin dalam tempoh panjang dan sekatan perjalanan dalam strategi pembendungan khususnya.

Bandar-bandar di seluruh negara bergelut untuk membendungnya kerana peningkatan kadar jangkitan mengakibatkan farmasi mengalami kekurangan bekalan ubat, wad hospital dipenuhi pesakit dan krematorium serta tempat pengebumian terpaksa menguruskan jenazah yang banyak.

Namun penamatan mandat ujian yang ketat menjadikan beban kes hampir mustahil untuk dikesan, sementara pihak berkuasa berusaha menukar definisi perubatan akibat korban Covid-19 sebagai satu langkah menyekat jumlah kematian yang dikaitkan dengan virus itu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Perbandaran di Qingdao, Bo Tao dipetik sebagai berkata agensi berita tempatan melaporkan bandar di timur itu menyaksikan “antara 490,000 dan 530,000” kes baharu Covid-19 sehari.

Beliau berkata, bandar pesisir pantai yang terletak di wilayah Shandong dengan kira-kira 10 juta penduduk itu “sedang bergelut dengan penularan pantas wabak itu”.

Tao menambah kadar jangkitan akan meningkat sebanyak 10% lagi pada hujung minggu ini.

Laporan itu dikongsi beberapa saluran berita lain tetapi nampaknya disunting pada pagi Sabtu untuk menghapuskan angka jangkitan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, sebanyak 4,103 jangkitan tempatan baharu direkodkan di seluruh negara pada hari sebelumnya. Malah, tiada kematian dilaporkan.

Pihak berkuasa wilayah Shandong, secara rasmi mengumumkan hanya 31 kes tempatan baharu direkodkan.

Kerajaan China mengawal ketat media negara itu, beberapa berita dalam talian ditapis bagi menghapuskan kandungan yang dianggap sensitif daripada segi politik. – AFP, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen