Mayat terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali ditemukan petang ini


Mayat terakhir itu ditemukan jam 4.53 petang tadi oleh dua anggota Angkatan Pertahanan Awam di sektor A. – Gambar Facebook APM, 24 Disember, 2022.

MAYAT kanak-kanak lelaki yang merupakan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali ditemukan petang ini.

Bernama memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sudah menemukan jasad mangsa ke-31 itu pada hari ke-9, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah yang mengesahkan perkara tersebut kepada Bernama dijangka bakal mengadakan sidang media pada bila-bila masa.

Kanak-kanak lelaki itu antara mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh pada 16 Disember lalu.

Tragedi runtuhan yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Disember lepas meragut 31 nyawa manakala 61 lagi selamat.

Mangsa yang terkorban melibatkan 12 wanita, enam lelaki, enam kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan di mana kesemuanya sudah dituntut oleh waris masing-masing.– 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen