Anggota APM pengsan sewaktu cari mangsa tanah runtuh terakhir


Muhammad Faiq Haikhal pengsan di lokasi operasi SAR, tengah hari tadi. – Gambar Facebook APM, 24 Disember, 2022.

SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.

Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira jam 1 tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.

“Beliau memulakan tugasnya hari ini pada 7.30 pagi tadi dan terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya anggota APM berkenaan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

Setakat hari ini, tragedi tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi 16 Disember lepas meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.

Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. – Bernama, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen