Rejim Syria teruskan serangan di Ghouta 


Kawasan konflik di Timur Ghouta terus menjadi lokasi pertempuran yang turut menberi kesan kepada orang awam. – Gambar EPA, 9 Mac, 2018.

TENTERA Syria meneruskan serangan udara dan darat di Timur Ghouta pada Khamis dan kini semakin hampir untuk merampas semula kawasan yang dikuasai pemberontak dan turut menafikan bantuan kemanusiaan kepada orang awam.

Lebih 930 orang awam terbunuh dalam serangan yang tercetus hampir tiga minggu di kawasan yang dikuasai pemberontak di luar ibu negara itu, yang mana ramai yang menderita akibat serangan disyaki menggunakan klorin.

Dalam satu lagi konflik yang menyelubungi Syria sejak tujuh tahun lalu, pemberontak pro Turki menguasai kawasan di utara Jandairus daripada pemberontak  Kurdish.

Kerajaan yang disokong Rusia telah mengambil alih lebih daripada separuh kawasan Timur Ghouta, menurut pemerhati, sejak ia melancarkan serangan pada kawasan berkenaan 18 Februari lalu.

Pertempuran terbaharu itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa yang mana, Majlis Keselamata PBB menggesa gencatan senjata, penghantaran bantuan dan pemindahan orang awam.

Pada Khamis, 24 orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan udara dan roket di Timur Ghouta, kata Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain.

Penghantaran bantuan yang dijadualkan pada Khamis adalah untuk membantu orang awam di kawasan berkenaan, yang mempunyai populasi kira-kira 400,000 penduduk.

Namun serangan berterusan menyebabkan konvoi penghantaran bantuan berkenaan yang terdiri daripada PBB, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Arab Syria tidak dapat diteruskan.

“Pergerakan konvoi berkenaan tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Syria kerana sebab keselamatan,” kata jurucakap pejabat kordinasi kemanusiaan PBB Jens Laerke.– AFP, 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen