Facebook setuju bayar AS$725 juta selesai saman privasi


Pihak berkuasa AS mendenda Facebook AS$5 bilion pada 2019 kerana mengelirukan penggunanya dan mengenakan pengawasan bebas terhadap pengurusan data peribadinya. – Gambar EPA, 24 Disember, 2022.

SYARIKAT induk Facebook, Meta bersetuju membayar AS$725 juta bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah yang sekian lama berjalan yang menuduh rangkaian sosial itu membenarkan pihak ketiga, termasuk Cambridge Analytica, mengakses data peribadi pengguna.

Jumlah itu didedahkan dalam pemfailan mahkamah lewat Khamis.

“Penyelesaian yang dicadangkan sebanyak AS$725,000,000 adalah dapatan terbesar yang pernah dicapai dalam tindakan kelas privasi data dan paling banyak pernah dibayar Facebook untuk menyelesaikan tindakan kelas persendirian,” kata peguam bagi plaintif dalam pemfailan itu.

Facebook tidak mengakui sebarang salah laku sebagai sebahagian daripada penyelesaian, yang masih memerlukan kelulusan hakim di bahagian San Francisco di Mahkamah Daerah AS.

“Kami meneruskan penyelesaian kerana ia demi kepentingan komuniti dan pemegang saham kami,” kata jurucakap Meta Dina El-Kassaby Luce dalam satu kenyataan. 

“Sejak tiga tahun lepas kami merombak pendekatan kami terhadap privasi dan melaksanakan program privasi yang komprehensif.”

Dilaporkan pada Ogos yang Facebook mencapai persetujuan awal, walaupun jumlah dan syarat penyelesaian tidak diumumkan.

Tuntutan itu dimulakan pada 2018, apabila pengguna Facebook menuduh rangkaian sosial itu melanggar peraturan privasi dengan berkongsi data mereka dengan pihak ketiga, termasuk firma Britain Cambridge Analytica, yang dikaitkan dengan kempen presiden Donald Trump pada 2016.

Cambridge Analytica, yang sudah ditutup, ketika itu mengumpul dan mengeksploitasi data peribadi 87 juta pengguna Facebook tanpa persetujuan mereka, menurut dakwaan tuntutan mahkamah.

Maklumat itu didakwa digunakan untuk membangunkan perisian untuk mengarahkan pengundi AS memihak kepada Trump.

Facebook sejak itu membuang akses kepada datanya daripada beribu-ribu aplikasi yang disyaki menyalahgunakannya, mengehadkan jumlah maklumat tersedia kepada pembangun, dan memudahkan pengguna menentukur sekatan terhadap perkongsian data peribadi.

Pihak berkuasa persekutuan mendenda Facebook AS$5 bilion pada 2019 kerana mengelirukan penggunanya dan mengenakan pengawasan bebas terhadap pengurusan data peribadinya. – AFP, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen