KDN setuju mulakan libat urus kaji Sosma, kata Ramkarpal


Menurut Ramkarpal, KDN setuju menganjurkan sesi libat urus itu dalam masa terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2022.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bersetuju untuk memulakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi mengkaji semula dengan lebih teliti peruntukan di dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata hasil pertemuannya hari ini dengan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail antara lain bersetuju menganjurkan sesi libat urus itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata keperluan mengkaji akta itu perlu dibuat bagi menangani aspek dalam akta yang dikritik sebelum ini, seperti peruntukkan mengehadkan pemberian jaminan.

“Oleh yang sedemikian, kementerian saya dengan kerjasama KDN akan menganjurkan sesi ini dalam masa terdekat, dan saya akan menjemput semua pihak berkepentingan, termasuk pegawai-pegawai daripada KDN dan Polis Diraja Malaysia untuk segera memulakan proses ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Saifuddin dikritik pelbagai pihak kerana menyatakan pendiriannya yang tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma kerana jelasnya akta itu bukan undang-undang penahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan. – Bernama, 23 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen