Pemuda PKR desak peguam Umno disiasat lakukan konspirasi


Looi Sue-Chern

PEMUDA PKR membuat laporan polis berhubung dakwaan mengatakan Perdana Menteri Najib Razak membuat bayaran RM9.5 juta kepada peguam terkemuka Mohammed Shafee Abdullah daripada akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tuduhan itu muncul dalam portal pendedah maklumat Sarawak Report yang melaporkan wang dibayar kepada Shafee dibuat menerusi dua transaksi pada 2013 dan 2014.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata jika ada kebenaran dalam artikel itu, ia bermakna ada usaha memindahkan dana itu kepada Shafee, dan ada konspirasi politik meletakkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim kembali ke penjara.

Shafee mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Anwar.

“Pindahan wang itu berlaku kebetulan pada masa sama dengan kes Anwar.

“Kami tidak kata berita Sarawak Report itu benar. Kami mahu polis menyiasat dakwaan itu,” katanya kepada wartawan di luar ibu pejabat polis daerah Seberang Prai Tengah hari ini.

Sarawak Report dalam artikelnya “Najib Paid Anwar’s Prosecutor RM9.5 Million From 1MDB Slush Fund WHY?” pada 31 Mei melaporkan Shafee ialah “penerima individu terbesar wang daripada akaun 1MDB”.

Ia melaporkan Najib dikatakan membayar Shafee RM5.2 juta pada Februari 2014 dan RM4.3 juga pada September 2013.

Laman web itu berkata wang berkenaan daripada akaun bank “dikenal pasti sebagai menerima dana daripada subsidiari 1MDB, SRC yang meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) perkhidmatan awam”.

Shafee setakat ini belum membalas panggilan atau mesej daripada The Malaysian Insight.

Shafee dilantik sebagai pendakwa raya pada peringkat rayuan terhadap pembebasan Anwar, ketua umum PKR, daripada tuduhan liwat pada 2014.

Dr Afif berkata jika ada kebenaran dalam dakwaan itu, kelihatannya seperti ada konspirasi politik untuk menyumbat Anwar, yang dibebaskan pendakwaan liwat pada 2012, kembali ke penjara.

“Ia berlaku ketika PKR sedang bersedia berdepan pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada 2014. Ada terlalu banyak kebetulan,” katanya.

Anwar mungkin bertanding dalam PRK itu untuk memenangi kerusi DUN dan menjadi menteri besar Selangor pada tahun itu, jika Mahkamah Rayuan tidak mengembalikan keputusan untuk membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat.

Katanya, Pemuda PKR mungkin akan menggerakkan laporan polis sama di kawasan bidang kuasa lain untuk mendesak siasatan dibuat.

Adun Machang Bubok daripada PKR Lee Khai Loon berkata tuduhan dalam Sarawak Report itu amat mengejutkan, kerana pelantikan Shafee oleh kerajaan pun sudah cukup tidak tepat, kerana ia diketahui peguam Umno, dan kemudian dilantik mengetuai pendakwaan dalam kes Anwar.

“Pada masa itu, sudah pun diperkatakan pelantikannya tidak betul. Sekarang kita dikejutkan pula dengan dakwaan ini.

“Polis perlu siasat apa yang berlaku dan adakah tuduhan dalam Sarawak Report ada asas,” katanya.

Laporan di Pulau Pinang dibuat di balai polis Bandar Perda oleh Ketua Pemuda PKR Bukit Mertajam Mohd Ikhwan Nasser Mohamad Isa. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen