Korea Selatan akan buat pengumuman penting, kata Trump


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Korea Selatan dijangka membuat pengumuman penting beberapa jam lagi berkenaan Korea Utara. – Gambar EPA, 9 Mac, 2018.

PRESIDEN Donald Trump berkata Korea Selatan dijangka membuat pengumuman penting beberapa jam lagi, susulan lawatan mengejut pertama ke bilik taklimat White House semalam.

Trump berkata pengumuman itu dijangka dibuat pada jam 7 malam waktu tempatan dan beliau turut berbincang sesuatu dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Kenyataan presiden Amerika Syarikat (AS) itu dibuat selepas lawatan Penasihat Keselamatan Korea Selatan, Chung Eui-yong bagi memberi taklimat kepada rakan sekutu mereka itu berhubung satu mesyuarat bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Pyongyang.

Korea Selatan pada Selasa lalu mengumumkan pendirian Korea Utara yang menjelaskan mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk bergantung kepada senjata nuklear yang dimiliki jika ancaman ketenteraan ke atas negara itu tidak berlaku dan keselamatan rejim Jong-un mendapat jaminan.

Eui-yong berkata Korea Utara sedia berbincang secara telus bersama AS bagi menghentikan semua program persenjataan nuklear dan menggantung sementara semua ujian peluru berpandu sepanjang tempoh rundingan.

Kesediaan Korea Utara itu disambut baik Trump yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang sangat positif.

Bagaimanapun, Pengarah Perisik Kebangsaan Dan Coats memberitahu Kongres, beliau skeptikal dengan tawaran Korea Utara, manakala naib presiden Mike Pence berkata, pendirian AS terhadap Korea Utara tidak berubah selagi mereka tidak melihat sebarang langkah konkrit, berwibawa dan sahih yang menjurus kepada keputusan menghentikan program nuklear sepenuhnya oleh negara berkenaan. – AFP, 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen