Banjir: LPT2 nasihat pengguna rancang perjalanan


LPT2 memaklumkan lebuhraya itu sudah boleh dilalui seperti biasa oleh semua kenderaan bagi kedua-dua arah. – Gambar Facebook LPT2, 23 Disember, 2022.

PENGGUNA Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dinasihat merancang perjalanan susulan musim hujan lebat dan banjir terutama yang sedang melanda Pantai Timur ketika ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2 Sdn Bhd Suhaimi Samat berkata laluan LPT 2 di kedua-dua arah iaitu dari Kuala Lumpur/Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu ke Kuantan/Kuala Lumpur dibuka seperti biasa.

Bagaimanapun laluan kontra bagi laluan Bukit Besi ke Ajil di Kilometer (KM) 392.4 hingga 394.6 masih diaktifkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan cerun dilaksanakan demi keselamatan semua pengguna lebuh raya berkenaan.

“Berikutan insiden kegagalan cerun yang berlaku di KM 393.4, pihak LPT 2 masih mengaktifkan laluan kontra di KM392.4 hingga KM 394.6.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka, berhati-hati memandu, mematuhi arahan petugas serta papan tanda trafik apabila menghampiri zon kerja dan laluan kontra berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata untuk mendapatkan maklumat lanjut dan informasi terkini, orang ramai boleh menghubungi talian LPT2 Line di 1800-88-0220 atau menerusi twitter @lpt2trafik. – Bernama, 23 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen