Isu alam sekitar jejas markah tinggi Pakatan di Pulau Pinang


Ooi Choong Han

Perubahan di Pulau Pinang menjadikan ramai warganya gembira untuk tinggal di negeri itu, tetapi mereka bimbang dengan isu alam sekitar dan pembangunan berlebihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

WALAUPUN kebanyakan warga Pulau Pinang berpuas hati dengan pencapaian kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH), tetapi isu alam sekitar dan kebimbangan terhadap pembangunan berlebihan menjadi faktor utama yang boleh menjejaskan pakatan itu.

Sejak DAP mengambil alih negeri itu pada 2008, penduduk tempatan berkata Pulau Pinang nampak lebih bersih, seronok didiami dan bertenaga.

Wong Soon Teik, 30, berkata perubahan itu mendorongnya untuk membuat keputusan kembali ke kampung halaman selepas menamatkan pengajian sarjana di Taiwan tahun lalu.

“Semakin banyak laluan pejalan kaki, lintasan zebra, trek basikal, taman mini, bas percuma, kongsi kereta dan kolam renang awam.

“Kemudahan awam seperti ini amat jarang sebelum 2008,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong berkata dia ingat lagi, ramai orang termasuk ibu bapanya marah apabila kerajaan negeri mengharamkan penggunaan beg plastik dan polistirena pada 2008.

“Sekarang ibu bapa saya tidak guna plastik lagi dan sudah mula mengitar semua. Orang ramai sudah mula terima,” katanya.

Pulau Pinang kini lebih bertenaga dengan banyak aktiviti sukan, kebudayaan dan seni pada hujung minggu selain kewujudan banyak hotel kecil, kafe, bar yang dikendalikan oleh golongan muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

Katanya, ibu bapanya dan saudara sebelum ini tidak menggalakkannya tinggal di Pulau Pinang, tetapi sekarang mereka nasihat supaya dia menetap dan kerja di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya kesesakan lalu lintas di negeri itu semakin teruk, kerana pelancong bertambah ramai.

“Lebih bagus jika mereka boleh perbaiki sistem pengangkutan awam.”

Jurugambar bebas, Oh Chin Eng, 30, berkata Pulau Pinang lebih bertenaga sekarang dengan banyak aktiviti sukan, kebudayaan dan seni pada hujung minggu.

“Ia baik untuk perniagaan. Ada lebih banyak hotel kecil, kafe, bar yang dikendalikan oleh golongan muda di Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum 2008, akan ada sampah di bawah papan tanda melarang orang ramai membuang sampah, tetapi pemandangan seperti itu sekarang jarang ditemui, kata Oh.

“Ketika saya di sekolah menengah, ibu bapa suruh saya keluar dari Pulau Pinang dan hidup di tempat lain, tetapi sekarang semua galakkan orang muda duduk di sini.”

Kebimbangan pembangunan berlebihan

Sementara ramai yang memuji perubahan di Pulau Pinang, masih ada yang menyuarakan kebimbangan tentang pembangunan berlebihan.

Pemerhati politik, Cheah See Kian berkata walaupun PH menerima pujian kerana membersihkan negeri itu, menaik taraf kemudahan awam dan memberi peruntukan kepada sekolah dan badan agama, kerajaan negeri masih mempunyai isu yang perlu ditangani jika berjaya membentuk kerajaan sekali lagi.

Katanya, isu utama ialah masalah kesesakan lalu lintas dan pembangunan berlebihan.

Selain kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang menyebabkan 10 pekerja asing maut, Pulau Pinang dilanda banjir paling buruk pada November tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

Seorang jurugambar yang mahu dikenali sebagai Lye berkata beliau merasakan pencemaran semakin bertambah kerana kini tidak dapat lagi merakamkan gambar langit yang terang, seperti sedekad lalu.

Senada dengan kebimbangan pencinta alam sekitar di negeri itu, Lye berkata tempat untuk merakam gambar indah semakin berkurangan seperti gunung, hutan, sawah dan laut akibat pembangunan di kawasan tanah tinggi dan penambakan laut yang berleluasa.

“Mereka terus menerus menambak laut, nanti masih adakah pantai untuk orang ramai,” katanya.

Pulau Pinang berdepan beberapa kontroversi alam sekitar termasuk pembersihan tanah secara haram di Bukit Relau, penambakan laut di Gurney Drive, tanah runtuh di Tanjung Bungah yang menyebabkan 10 pekerja asing maut dan banjir paling buruk melanda negeri itu pada November tahun lalu.

Ahli pemuliharaan warisan Tan Yeow Wooi berkata ada kekurangan dalam perancangan pembangunan Pulau Pinang, dengan terlalu banyak bangunan tinggi di sekitar George Town.

Dari 2008 hingga 2015, Pulau Pinang meluluskan lebih 115 projek untuk pembinaan bangunan lebih 20 tingkat, dengan yang tertinggi 52 tingkat.

“Sepertinya mereka tidak ada perancangan teliti. Contohnya, di kawasan perumahan dengan kebanyakan rumah teres dua tingkat, akan ada bangunan tinggi,” kata Tan.

“Ia menyakitkan mata dan akan menyebabkan populasi berlebihan dengan kesesakan trafik.” – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen