Orang Islam ramai tak mengundi? Hadi bohong, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kira-kira 98% pengundi bukan Islam di seluruh negara dan pelusuk dunia dikerah supaya menyokong DAP dan sekutunya berbanding hanya 60% umat Islam yang keluar mengundi tidak tepat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2022.

KENYATAAN Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyalahkan peratusan keluar mengundi orang Islam yang rendah pada pilihan raya umum lalu sehingga menyebabkan Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan diselar Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Dakwaan Hadi kira-kira 98% pengundi bukan Islam di seluruh negara dan pelusuk dunia dikerah supaya menyokong DAP dan sekutunya berbanding hanya 60% umat Islam yang keluar mengundi juga tidak tepat, kata ahli Parlimen Bagan itu.

Lim berkata Hadi sekali lagi menunjukkan pendirian PN yang bersifat perkauman, ekstremis dan mewujudkan naratif palsu dengan mendakwa bahawa peratusan keluar pengundi Islam rendah.

Malah saintis data Thevesh Theva juga menyangkal dakwaan Hadi mengenai angka peratusan keluar mengundi berdasarkan agama, di mana data tersebut adalah palsu dan tidak berasas, kata Lim.

“Bagaimana mungkin lebih ramai orang bukan Islam mengundi daripada orang Islam, sedangkan di negeri kelahiran Hadi, Terengganu sebanyak 95% majoriti Melayu/Islam - mempunyai peratusan keluar mengundi sebanyak 80.2 peratus - nilai tertinggi bagi sebuah negeri di negara ini. Peratusan keluar mengundi adalah Sarawak yang majoritinya bukan Islam pula hanya 59.1%.

“Peratusan keluar mengundi di kerusi Hadi di Marang juga pada 82.8 peratus, yang menurut Thevesh adalah yang ketujuh tertinggi di negara ini.

“Kerusi parlimen dengan peratusan keluar mengundi tertinggi adalah di 95% kerusi majoriti Muslim di Putrajaya sebanyak 85.5% manakala peratusan keluar mengundi terendah adalah dikerusi majoriti bukan Islam di Limbang iaitu 47.1%,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata Thevesh juga menjelaskan 20 peratusan pengundi teratas adalah semua kerusi parlimen majoriti Islam manakala 20 peratusan pengundi terbawah adalah semua kerusi majoriti bukan Islam.

Beliau selain itu menyelar Hadi yang dalam kenyataannya kelmarin bahawa orang Islam yang tidak keluar mengundi berdosa besar kerana ingkar arahan Nabi supaya tidak berundur ketika ‘musuh Islam’ sedang menyerang.

“Ini jelas sekali adalah bersifat perkauman dan melampau bukan sahaja terhadap orang bukan Islam tetapi juga cemuhan yang tidak berasas terhadap orang Islam.”

Lim menegaskan orang bukan Islam tidak memusuhi Islam tetapi menentang PAS kerana terus-menerus mengancam untuk mengurangkan serta menidakkan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selain mencampuri gaya hidup orang bukan Islam. 

“PAS adalah parti politik manakala Islam adalah agama sejagat. Sikap diskriminasi dan perkauman PAS terhadap bukan Islam tidak dibenarkan dalam Islam.

“Hadi sekali lagi terlepas pandang terang lagi bersuluh bahawa perdana menteri adalah seorang Muslim dan hanya terdapat 9 orang bukan Islam daripada 28 orang menteri yang terang-terang mereka adalah orang Islam.

“Kegagalan PAS untuk memenangi kerajaan persekutuan walaupun PN cuba membangkitkan ketegangan kaum dan ekstrimis dengan teori konspirasi Yahudi dan Kristianisasi yang menunjukkan sifat mereka yang tidak bertanggungjawab demi kemenangan dalam menggunakan apa-apa jua cara,” kata Lim. – 23 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen