PAKATAN Harapan (PH) perlu berbincang mengenai langkah menggabungkan manifesto pilihan raya setiap parti komponen dalam kerajaan perpaduan, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran.
Beliau dilapor portal Free Malaysia Today berkata, isu terbabit mesti dibincangkan Majlis Presiden PH bagi membolehkan gabungan dalam kerajaan memahami bagaimana janji pilihan raya mereka boleh dilunaskan.
Langkah ini penting katanya, supaya PH boleh melihat berapa banyak janji pilihan raya yang boleh ditangani dengan segera.
Gesaan ahli Parlimen DAP itu menyusuli keputusan Kabinet menugaskan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali supaya menubuhkan satu jawatankuasa bagi memperinci dan menggabungkan semua manifesto parti politik dalam kerajaan untuk dilaksanakan kelak.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli pada Selasa berkata kerajaan akan memilih dan menggabungkan beberapa janji yang dibuat oleh pelbagai komponen kerajaan perpaduan.
Katanya, rundingan pemilihan akan berpandukan 18 komitmen seperti ditetapkan di bawah Fasal 2 perjanjian persefahaman permuafakatan yang ditandatangani pemimpin kerajaan perpaduan pada Jumaat mingu lepas.
Komitmen itu antara lainnya termasuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, menyediakan peluang ekonomi adil kepada golongan miskin tanpa mengira latar belakang, serta melindungi kebebasan untuk berhimpun, kebebasan bersuara dan meningkatkan pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan, menurut Rafizi. – 23 Disember, 2022.
Komen