WAKIL rakyat Sepanyol meluluskan deraf perundangan bagi melindungi sesiapa yang mendedahkan kesalahan serius atau kes rasuah dalam sektor awam dan swasta, selaras dengan arahan Eropah 2019.
Menteri Keadilan Pilar Llop berkata rang undang-undang (RUU) itu sangat penting untuk mencegah rasuah dan membanterasnya.
RUU itu yang akan memasuki peringkat senat bertujuan untuk “melindungi sesiapa yang mendedahkan dan mengenal pasti individu terbabit dalam jenayah serius atau kesalahan pentadbiran”.
Ia termasuk tanggungjawab untuk mewujudkan sistem laporan dalaman bagi mendedahkan jenayah dengan jaminan kerahsiaan dan membenarkan pemberi maklumat kekal tidak mendedahkan namanya.
Sistem itu perlu disediakan di syarikat yang mempunyai lebih 50 pekerja selain di entiti awam, parti politik, persatuan dan organisasi yang menerima sumbangan orang ramai.
RUU itu juga akan membolehkan sistem amaran luaran disediakan untuk pemberi maklumat.
Ia termasuk langkah undang-undang bagi melindungi rakyat yang melaporkan jenayah, termasuk wartawan dan sumber mereka.
Ia bertujuan melindungi pemberi maklumat daripada kesan dan akibat seperti pembatalan kontrak, intimidasi, tindakan tidak adil dan kemusnahan reputasi. – AFP, 23 Disember, 2022.
Komen