Hospital di China penuh dengan pesakit Covid warga emas


PESAKIT warga emas kini memenuhi wad di hospital di beberapa bandar utama China setakat semalam ketika negara itu bergelut dengan gelombang kes Covid-19.

Virus itu melonjak di seluruh negara itu di mana pihak berkuasa berkata sukar untuk menjejaki punca jangkitan selepas ujian besar-besaran wajib ditamatkan.

Dengan kes semakin tinggi, Washington mendesak Beijing berkongsi data jangkitan Covid, berkata kes di China akan memberi kesan kepada dunia.

Paramedik di Hospital Chongqing berkata lebih 10 pesakit dibawa ke hospital setiap hari, dengan hampir 90% adalah warga emas yang dijangkiti koronavirus.

Jutaan warga emas di seluruh China masih tidak divaksinasi sepenuhnya menyebabkan kebimbangan virus itu akan mengorbankan ramai lagi warganegara yang terdedah kepada jangkitan.

Menurut garis panduan baharu kerajaan, kebanyakan kematian tidak akan dikaitkan dengan Covid.

Di Shanghai, kaki lima jabatan kecemasan dipenuhi pengusung menempatkan warga emas yang diberikan bekalan oksigen tanpa katil di wad. – AFP, 23 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen