UNIVERSITI Afghanistan melarang pelajar wanita memasuki kampus susulan mereka tidak mematuhi arahan termasuk kod berpakaian sempurna, kata menteri pendidikan tinggi Taliban.
Larangan itu diumumkan awal minggu ini adalah sekatan terbaru terhadap hak asasi wanita di Afghanistan yang ditetapkan pemimpin Taliban selepas mereka kembali mentadbir negara itu pada Ogos tahun lalu.
Arahan itu mencetuskan kemarahan antarabangsa termasuk negara Islam lain yang berkata ia bercanggah dengan ajaran Islam.
Tetapi menteri Taliban berkenaan Neda Mohammad Nadeem bertegas pelajar wanita mengabaikan arahan Islam – termasuk cara berpakaian atau ditemani waris lelaki dan mahram ketika melakukan perjalanan.
“Malangnya selepas 14 bulan, arahan Kementerian Pendidikan Tinggi berkenaan pendidikan wanita tidak dilaksanakan.
“Mereka berpakaian seperti mahu ke majlis perkahwinan. Pelajar wanita yang datang ke universiti dari rumah juga tidak mematuhi arahan berkenaan hijab,” katanya.
Nadeem berkata beberapa matapelajaran sains juga tidak sesuai untuk wanita.
“Kejuruteraan, pertanian dan kursus lain juga tidak berpadaanan dengan maruah pelajar wanita serta budaya Afghanistan,” katanya.
“Pihak berkuasa juga memutuskan untuk menutup madrasah yang hanya mengajar pelajar wanita tetapi bertempat di dalam masjid, kata Nadeem.
Larangan terhadap pendidikan universiti dilakukan hanya kurang tiga bulan selepas ribuan pelajar wanita dibenarkan menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti, dengan ramai yang berharap untuk menjadikan perguruan dan perubatan sebagai bidang kerjaya pada masa depan.
Sekolah menengah untuk pelajar perempuan ditutup di hampir kebanyakan tempat di negara itu sejak lebih setahun lalu – juga hanya sementara, kata Taliban, namun mereka tidak memberikan alasan kenapa hingga kini sekolah masih belum dibuka semula. – AFP, 23 Disember, 2022.
Komen