Bangkok hargai kerjasama Malaysia banteras jenayah rentas sempadan


Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan berkata pihak berkuasa Thailand berjaya memberkas mereka yang disyaki terlibat dengan penipuan pusat panggilan, hasil daripada kerjasama rapat dengan rakan sejawatannya dari Malaysia dan negara jiran lain. – Gambar EPA, 8 Mac, 2018.

KERAJAAN Thailand amat menghargai kerjasama Malaysia dalam membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk penipuan pusat panggilan, yang lebih dikenali sebagai ‘Macau Scam’, kata Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan hari ini.

Menurut Prawit, yang juga Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam  negeri, pihak berkuasa Thailand berjaya memberkas mereka yang disyaki terlibat dengan penipuan pusat panggilan, hasil daripada kerjasama rapat dengan rakan sejawatannya dari Malaysia dan negara jiran lain.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana, tanpa kerjasama cemerlang daripadanya, kami (pihak berkuasa Thailand) tidak mungkin dapat memberkas suspek yang terlibat dengan penipuan pusat panggilan itu,” katanya pada majlis bagi meraikan kerjasama Thailand dengan kerajaan Malaysia dan Kemboja di ibu pejabat Polis Diraja Thailand di Bangkok.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Thailand Jen Chakthip Chaijinda itu, Prawit menyampaikan plak penghargaan kepada Duta Besar Malaysia di Thailand Jojie Samuel dan Pegawai Perhubungan Polis Malaysia di Thailand ACP Yusni Mohd Jamil.

Prawit berkata kerjasama dua hala yang begitu cemerlang  antara Thailand dan jirannya, memainkan  peranan penting dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan sejajar dengan itu, beliau berharap hubungan baik sedia ada dengan negara jiran akan ditingkatkan pada masa akan datang.

Sementara itu, Jojie memberitahu Bernama majlis hari ini merupakan satu penghargaan terhadap kerjasama baik yang sedia terjalin antara kerajaan dan pihak berkuasa kedua-dua negara dalam membanteras jenayah rentas sempadan terutamanya membabitkan penipuan pusat panggilan.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua negara itu akan dipertingkatkan pada masa depan.

Katanya, pihak berkuasa kedua-dua negara juga perlu bekerjasama dalam usaha publisiti terhadap masyarakat tentang penipuan pusat panggilan supaya mereka tahu mengenai jenayah yang semakin berleluasa di rantau ini.

Yusni pula berkata, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dengan Polis Diraja Thailand dalam membanteras jenayah rentas sempadan sememangnya sudah terjalin sejak dahulu lagi dan ia akan berterusan pada masa depan.

“Hubungan dan kerjasama rapat antara kedua-dua pasukan polis Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuh pada masa depan berdasarkan kepada pelbagai senario,” katanya.

Dalam majlis hari ini, ketua pusat operasi pusat panggilan Polis Thailand, Mej Jen Surachet Hakpan berkata bagi tempoh tiga bulan tahun ini, polis Thai merekodkan  338 kes membabitkan penipuan pusat panggilan dengan kerugian berjumlah  200 juta  Baht (RM26.4 juta).

Polis Thai, katanya, mengeluarkan waran tangkap terhadap  343 suspek dengan  229 orang telah pun ditahan.

Surachet  berkata polis turut mengembalikan 33 juta  Baht (RM4.2 juta) kepada 66 mangsa menggunakan wang yang mereka rampas daripada suspek pusat panggilan itu dan dijangka mengembalikan  120 juta  Baht lagi kepada mangsa. – Bernama, 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen