RUNDINGAN tidak rasmi mengenai Myanmar berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini untuk mempercepat kemajuan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ke atas Myanmar.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja memaklumkan Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan utusan khas pengerusi Asean ke Myanmar, Prak Sokhonn mengetuai delegasi ke perundingan tidak rasmi yang dimulakan oleh Thailand itu.
“Semasa rundingan tidak rasmi itu, para peserta dijangka mengadakan perbincangan mengenai kaedah untuk mempercepat kemajuan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ke atas Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Rundingan itu berlangsung atas jemputan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai.
Malaysia bagaimanapun tidak hadir pada rundingan tidak rasmi itu dan tidak dapat dipastikan pemimpin lain dari negara Asean yang turut tidak menyertai mesyuarat itu.
5PC yang dipersetujui pada April 2021 berikutan rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik pada 1 Feb tahun lepas.
Namun ramai mendakwa tiada kemajuan dalam pelaksanaan 5PC oleh junta Myanmar untuk mengembalikan keamanan dan ketenteraman di negara itu.
Pada Sidang Kemuncak Asean November lepas, pemimpin Asean bersetuju 5PC akan kekal sebagai rujukan yang sah dalam mencari penyelesaian untuk Myanmar dan wajar dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja, para pemimpin berkata Asean juga akan menimbang untuk meneroka pendekatan lain yang boleh menyokong pelaksanaan 5PC untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar. – Bernama, 22 Disember, 2022.
Komen