Pelepasan gas rumah hijau di Itali catat peningkatan


Konflik Ukraine menyebabkan penggunaan tenaga di Itali berubah secara mendadak menyaksikan penggunaan gas asli menurun 3% tahun ini. – Gambar AFP, 22 Disember, 2022.

PELEPASAN gas rumah hijau di Itali menunjukkan peningkatan meskipun penggunaan tenaga di negara ini adalah lebih rendah, lapor Xinhua.

Menurut laporan Agensi Kebangsaan Itali mengenai tenaga yang dikeluarkan semalam, jumlah penggunaan tenaga di Itali dijangka menurun sekitar 1.5% tahun ini berbanding 2021. Namun begitu, pelepasan gas rumah hijau dijangka meningkat sekitar lapan peratus menjelang akhir tahun.

Itali baru-baru ini mengumumkan cawangan baharu Universiti United Nations yang memberi tumpuan kepada memerangi perubahan iklim akan dibuka di Universiti Bologna, universiti tertua di dunia.

Konflik Ukraine menyebabkan penggunaan tenaga di Itali berubah secara mendadak menyaksikan penggunaan gas asli menurun 3% tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Ini disebabkan Russia memotong bekalan gas susulan krisis di Ukraine.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk menggantikan gas Russia, pembekal tenaga menggunakan lebih 8% minyak dan 47% lebih banyak arang berbanding tahun sebelumnya yang mengakibatkan peningkatan tahap pelepasan.

Penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih bersih juga menurun sebanyak 11%, menurut agensi itu.

Pelepasan gas rumah hijau dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat enam peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan jangkaan peningkatan 2% menjelang akhir tahun. – Bernama, 22 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen