Ratusan pelajar wanita dilarang masuk ke universiti di Afghanistan


Sekumpulan pelajar wanita berkumpul di luar universiti di Kabul, selepas dilarang masuk oleh pengawal bersenjata dan pintu pagar kampus ditutup. – Gambar Facebook, 22 Disember, 2022.

PENGAWAL bersenjata menghalang ratusan wanita muda masuk ke kampus universiti Afghanistan semalam, sehari selepas pemimpin Taliban melarang wanita mendapatkan pendidikan tinggi.

Walaupun menjanjikan pemerintahan kurang keras ketika merampas semula kuasa pimpinan negara tahun lalu, ekstremis Islam mengenakan sekatan terhadap pelbagai aspek kehidupan wanita, tanpa mengendahkan kemarahan antarabangsa terhadap hak asasi manusia.

Tinjauan mendapati kumpulan pelajar berkumpul di luar universiti di Kabul, selepas dilarang masuk oleh pengawal bersenjata dan pintu pagar ditutup.

“Taliban takut dengan perkembangan wanita. Kami boleh mendidik anak dalam masyarakat ini dan mereka takut perkara itu berlaku,” kata Wajiha Kazimi, 19, yang terselamat dalam satu serangan di sebuah pusat pendidikan di Kabul awal tahun ini.

Pihak berkuasa Taliban mahu menindas wanita, kata Setara Farahmand, 21, yang juga pelajar kesusasteraan Jerman di Universiti Kabul.

“Mereka hanya mahu wanita duduk di rumah dan melahirkan anak. Itu saja, mereka tidak mahu lebih dari itu.”

Pelajar lelaki turut terkejut dengan arahan terbaru itu, dengan sebahagian daripada mereka memboikot peperiksaan sebagai tanda protes.

“Ia menunjukkan kerajaan buta huruf dan tidak ada pengetahuan tentang Islam serta hak asasi manusia,” kata seorang pelajar lelaki.

Sekurang-kurangnya dua pensyarah lelaki di universiti di Kabul umum letak jawatan sebagai tanda protes.

Kebanyakan universiti swasta dan kerajaan ditutup untuk tempoh beberapa minggu sepanjang musim sejuk, namun kampus biasanya kekal dibuka kepada pelajar dan staf. – AFP, 22 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen