KERAJAAN Indonesia hari ini memutuskan untuk menghentikan eksport bauksit berkuat kuasa Jun 2023 serta menggalakkan pemprosesan dan penapisan mineral itu secara domestik.
Keputusan tersebut dijangka meningkatkan hasil industri bauksit negara kepada 62 trilion rupiah (RM1=3,500 rupiah) daripada 21 trillion rupiah, kata Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Indonesia akan terus meningkatkan nilai tambah sumber asli, sekali gus mendapatkan faedah daripada pertukaran mata wang asing, mencipta peluang perkerjaan dan mengalakkan pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan akan terus konsisten memperkasa sektor industri hiliran berasaskan sumber mineral dalam negeri supaya nilai tambah dinikmati dalam negara, demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Indonesia berjaya meningkatkan nilai eksport nikel 19 kali ganda kepada 326 trilion rupiah pada 2021 daripada 17 trilion rupiah pada akhir 2014, susulan pemberhentian eksport mineral itu sejak 1 Januari 2020.
“Anggaran saya tahun ini ia (eksport nikel) akan mencapai lebih 468 trilion rupiah atau lebih AS$30 bilion,” kata Jokowi. – Bernama, 21 Disember, 2022.
Komen