China sedia perkasa hubungan dengan Jerman ke tahap baharu


Presiden China Xi Jinping menyifatkan hubungan dengan Jerman yang memasuki ulang tahun ke-50 pada tahun ini sebagai amat signifikan kepada kedua-dua negara. – Gambar AFP, 21 Disember, 2022.

PRESIDEN China Xi Jinping menyatakan kesediaannya untuk bersama-sama dengan Jerman untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu dan membina hubungan yang berjaya dalam tempoh lima dekad akan datang.

Dalam perbualan melalui telefon dengan rakan sejawatan dari Jerman Frank-Walter Steinmeier pada Selasa, Xi turut menyifatkan hubungan China-Jerman yang memasuki ulang tahun ke-50 pada tahun ini sebagai amat signifikan kepada kedua-dua negara.

Bagi mengembangkan lagi hubungan China-Jerman, Xi turut mencadangkan agar kedua-dua pihak untuk mempertahankan asas fahaman yang betul.

“China dan Jerman kekal menjadi rakan dialog, rakan pembangunan, rakan kerjasama serta rakan yang bersama-sama menghadapi cabaran global.

“Kedua-dua pihak perlu meningkatkan dan memperluas persepakatan melalui dialog, mengawal percanggahan pendapat dengan sikap membina serta terus memperkaya konotasi perkongsian,” kata Xi.

Xi berkata kerjasama dan keterbukaan yang pragmatik merupakan ciri penting dalam hubungan China-Jerman dan perlu dipertahankan.

Jelas beliau, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara ini meningkat 870 kali ganda dalam tempoh lima dekad lalu.

“Kedua-dua pihak perlu menghargai hasil cemerlang tersebut, meningkatkan kesalinglengkapan dalam pasaran, modal dan teknologi, memperkasakan kerjasama dalam industri tradisional termasuk kenderaan, mesin dan kimia, di samping meneroka potensi kerjasama dalam bidang perdagangan perkhidmatan, pembuatan pintar serta pendigitalan,” tambah Xi.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar perkembangan yang sihat dan mampan dalam hubungan China-Eropah dapat diwujudkan.

“Ini merupakan usaha bersama China-Jerman dan saya berharap Jerman dapat memainkan peranan yang lebih membina dan bersama-sama China mengembangkan hubungan China-Eropah dengan stabil dan menuju ke masa depan,” kata Xi.

Sementara itu, Steinmeier berkata dalam tempoh lima dekad lalu, hubungan antara Jerman dengan China semakin erat dan kerjasamanya amat berhasil serta berjaya.

Beliau berkata ia sekali gus membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan Jerman tetap mempertahankan dasar satu China.

Steinmeier juga menyatakan Jerman bersedia bersama-sama China mengumpulkan pengalaman pada masa dahulu, merancang masa hadapan, di samping terus mengembangkan hubungan berdasarkan semangat saling menghormati, terbuka dan inklusif.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai krisis di Ukraine yang menurut Xi pihaknya mempertahankan rundingan damai dan berpendapat bahawa krisis yang berlarutan tidak membawa sebarang keuntungan.

Beliau berkata China menyokong Eropah menunjukkan autonomi strategi serta membina rangka keselamatan yang seimbang, berkesan dan mampan agar mewujudkan kedamaian serta keamanan yang berkekalan di benua Eropah. – Bernama, 21 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen