DUN Perak bertafakur memperingati insiden tanah runtuh


DUN Perak zahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh Batang Kali sebelum memulakan persidangan, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2022.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bertafakur selama kira-kira seminit bagi memperingati insiden tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid bagi pihak dewan negeri menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kejadian sebelum memulakan persidangan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

“Ia satu tragedi luar jangka dan turut dirasai seluruh negara. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.

“Dewan ingin zahirkan penghargaan kepada setiap anggota keselamatan dan petugas yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya sebelum meminta seluruh Adun beragama Islam untuk menyedekahkan Al-Fatihah, manakala mereka yang bukan beragama Islam untuk sama-sama bertafakur seketika.

Tragedi tanah runtuh pada pukul 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan berkenaan setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 25 terkorban dan lapan lagi masih hilang. – Bernama, 21 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen