TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa lebih separuh pengundi di Parlimen Lembah Pantai bersedia memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menteri Dalam Negeri itu berkata, kaji selidik yang dijalankan menunjukkan 74.5 peratus pengundi berpendapat hanya BN yang membantu dan memberi perkhidmatan kepada rakyat Lembah Pantai walaupun tidak mempunyai wakil rakyat di kerusi tersebut.
“Di Lembah Pantai, satu kajian dilakukan dengan responden yang tidak perlu saya sebut, 75.3 peratus janji orang yang mewakili Lembah Pantai ini tidak ditunaikan.
“Kajian juga menunjukkan 58.9 peratus Insya-Allah pengundi Lembah Pantai akan berubah angin memberikan dukungan kepada BN, mudah-mudahan lebih daripada itu.
“Manakala 71 peratus berpendapat hanya BN boleh bela masa depan di Parlimen Lembah Pantai,” kata Zahid, ketika berucap di majlis ramah mesra timbalan perdana menteri bersama penduduk Lembah Pantai di kuaters polis di Taman Desa 1, di ibu negara hari ini.
Turut hadir dalam program itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Lembah Pantai, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Zahid turut mengharapkan penduduk Lembah Pantai memberikan peluang kepada Raja Nong Chik untuk mewakili mereka di Parlimen.
“Saya harap Raja Nong Chik diberi kesempatan sekali lagi untuk beri perkhidmatan terbaik buat penduduk Lembah Pantai,” katanya.
Kerusi Parlimen Lembah Pantai disandang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar selepas menewaskan Raja Nong Chik pada PRU13.
Sebelum itu, pada Pilihan Raya 2008, Nurul Izzah juga menewaskan Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil yang merupakan ahli Parlimen kawasan tersebut.
Zahid turut mengingatkan Umno Lembah Pantai agar tidak mensabotaj calon mereka.
“Ingat jangan ada sabotaj dalaman, jangan ada yang ‘cah keting’... jangan ada yang cucuk-cucuk, jangan ada yang negatif.
“Memang sebagai manusia kita ada kelemahan, jangan aibkan tapi kita tegur dengan penuh kebijaksanaan,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan akan memantau janji yang diberikan Raja Nong Chik kepada pengundi untuk memastikan janji-janji itu ditepati.
“Kepada Raja Nong Chik, kalau nak tunaikan janji saya akan jadi saksi, supaya kalau kepercayaan dan sokongan diberikan semula kepada ahli parlimen baru Lembah Pantai bukan dari sana tapi dari tempat kita, saya dan Ku Nan akan pantau janji kita dilaksanakan sepenuhnya,” katanya, merujuk kepada Tengku Adnan. – 8 Mac, 2018.
Komen