Ketua PBB gesa peraturan media sosial seperti agensi berita


Setiausaha agung PBB berkata beliau amat prihatin mengenai platform media sosial diuruskan, saran pemilik media sosial kawal kebebasan bersuara supaya tidak melampau. – Gambar EPA, 21 Disember, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin berkata beliau tidak kisah siapa yang menguruskan platform media sosial seperti Twitter dan bagaimana ia diurus.

“Saya tidak kisah pun siapa yang menguruskan platform itu. Saya amat prihatin mengenai bagaimana platform itu diuruskan,” katanya.

Guterres berpendapat perlu ada peraturan kebertanggungjawapan dalam media sosial sama seperti agensi berita, akhbar dan penyiar yang bertanggungjawab ke atas kandungan mereka.

“Saranan saya kepada sesiapa yang mempunyai platform adalah untuk memastikan bahawa kebebasan bersuara terutama wartawan dihormati, dan ucapan kebencian, neo-Nazisme, supremasi kulit putih, bentuk ekstremisme lain, tidak mendapat tempat di platform media sosial,” kata beliau pada sidang media, lapor Xinhua.

Guterres ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk menutup akaun Twitternya dan sama ada beliau akan bertemu pemilik Twitter, Elon Musk.

“Saya akan bertindak mengikut apa yang munasabah…Pada masa ini yang paling munasabah ialah mengekalkan akaun itu kerana akaun itu juga mempunyai peranan penting. Namun sudah pasti, kami mengambil berat tentang situasi itu,” katanya.

Guterres berkata sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dengan Musk bukan isu penting, apa lebih mustahak ialah mewujudkan peraturan yang jelas mengenai tanggungjawab platform media sosial.

Musk yang menjadi tumpuan media sosial telah melancarkan tinjauan di Twitter sama ada beliau harus meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif syarikat yang baru diambil alihnya berikutan tindakan menyekat akaun beberapa wartawan.

Beliau kemudian mengaktifkan semula sebahagian akaun yang disekat itu.

Tinjauan pendapat itu mengesyorkan beliau berundur. – Bernama, 21 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen