5 cedera pergolakan udara ketika penerbangan ke Houston


United Airlines berkata lima mangsa cedera ringan susulan pergolakan udara dalam penerbangan ke Rio de Janeiro, Brazil ke Houston, AS. – Gambar fail AFP, 20 Disember, 2022.

SERAMAI dua penumpang dan tiga anak kapal cedera apabila penerbangan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Houston, Amerika Syarikat dilaporkan mengalami pergolakan udara pada Isnin.

United Airlines memaklumkan lima mangsa mengalami kecederaan ringan dibawa ke hospital tempatan sejurus selepas pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Houston Intercontinental, lapor Xinhua.

“Kami berterima kasih kepada krew kami atas usaha mereka dalam memastikan keselamatan pekerja dan pelanggan,” menurut syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Pengimbas radio kawalan trafik udara memaparkan pergolakan udara berlaku ketika pesawat itu melepasi Cancun, sebuah bandar di Mexico yang bersempadan dengan Laut Caribbean, lapor ABC News.

Kejadian sama turut dilaporkan pada Ahad membabitkan penerbangan Hawaiian Airlines dari Phoenix ke Honolulu, dengan 36 penumpang cedera termasuk bayi berusia 14 bulan. – Bernama, 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen