TERUSAN Suez Mesir mencatatkan rekod pendapatan sebanyak AS$7.932 bilion pada 2022, kata pengerusi Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) Mesir Osama Rabie.
“Pendapatan 2022 adalah yang tertinggi dalam sejarah SCA,” kata beliau pada persidangan umum parlimen. Hasil bagi 2021 berjumlah AS$6.333 bilion.
Lebih 23,000 kapal yang membawa 1.4 bilion tan kargo melalui terusan itu pada 2022, meningkat daripada 21,700 kapal pada tahun sebelumnya, katanya.
Qaddour mengunjurkan pendapatan akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang kerana yuran transit akan dinaikkan sebanyak 10-15% mulai Januari 2023.
Terusan Suez merupakan satu daripada sumber utama pendapatan negara dan rizab mata wang asing Mesir.
Kira-kira 12% daripada jumlah perdagangan dunia melalui laluan air buatan manusia itu yang dianggap sebagai laluan pelayaran paling penting dan terpantas yang menghubungkan Afrika, Asia dan Eropah dengan menghubungkan Laut Merah dan Laut Mediterranean. – Bernama, 20 Disember, 2022.
Komen