-2.jpg)
PADA 19 Disember, 2022 Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membuat kenyataan perjanjian (MOA) yang memaksa ahli Parlimen dari parti kerajaan untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri adalah sama seperti perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, dan Perikatan Nasional (PN) kononnya hipokrit kerana mengkritik MOA itu.
Ini adalah spin politik murahan yang palsu dan bertujuan untuk memperdaya rakyat.
Pertamanya, dalam perjanjian Ismail Sabri-PH tidak wujud peruntukan yang memaksa ahli Parlimen untuk menyokong PM atau usul lain berkaitan keabsahan kerajaan, seperti yang terdapat dalam MOA haram tersebut.
Jika gagal menyokong, ahli Parlimen parti kerajaan akan hilang kerusi Parlimen menurut klausa 4 MOA tersebut.
Tidak ada apa-apa peruntukkan seperti klausa 4 dalam perjanjian Ismail Sabri-PH, langsung tidak ada paksaan seperti itu.
Tidak rasional untuk menyamakan MOA haram ini dengan perjanjian Ismail Sabri-PH. Ini adalah propaganda yang tidak berasas dan terdesak dari Fahmi Fadzil.
Yang kedua, PN tidak pernah mempertikai hak parti yang membentuk kerajaan untuk membuat apa-apa perjanjian antara mereka.
Yang kami menolak adalah sebarang percubaan untuk membawa pemerintahan diktator dengan memaksa ahli Parlimen dari parti kerajaan untuk menyokong usul kerajaan di Dewan Rakyat.
Di mana demokrasi negara apabila ada paksaan dan ugutan ke atas ahli Dewan Rakyat?
Fasal 49A Perlembagaan yang sering dipetik oleh PH untuk memutihkan MOA haram mereka, hanya berkaitan lompat parti. Ia bukan memaksa ahli Parlimen menyokong kerajaan atau mana-mana usul. Ini jelas dari kandungan Fasal 49A yang mudah difahami.
Yang paling memalukan ialah ahli Parlimen PH sekarang giat di dalam dan luar Parlimen untuk membela MOA yang anti-demokratik dan kuku besi ini.
Ia sekali gus membuktikan retorik PH sekian lama mengenai demokrasi dan reformasi institusi adalah semuanya penipuan belaka. MOA haram tersebut yang dirancang secara sinis oleh PH adalah serangan yang paling serius ke atas institusi Parlimen sejak Merdeka.
Kami menyeru kesemua ahli Dewan Rakyat supaya berani dan bersatu dalam membela dan melindung institusi parlimen dan hak membahas dan mengundi setiap ahli Parlimen. – 20 Disember, 2022.
* Azman Nasrudin adalah ahli Parlimen Padang Serai.
Komen