Rusia tak minat serap Belarus, kata Putin


Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan khabar angin yang Moscow mahu menyerap masuk Belarus sebagai khabar angin yang disebarkan orang yang tidak baik. – Gambar AFP, 20 Disember, 2022.

RUSIA tidak berminat untuk menyerap Belarus, sekutu utama yang bergantung kepada Moscow untuk mendapatkan minyak dan pinjaman, kata presiden Vladimir Putin.

“Rusia tidak berminat untuk menerima sesiapa pun, ini tidak masuk akal,” kata Putin, menjawab soalan seorang wartawan, berkata khabar angin seperti itu datang daripada “orang yang tidak baik”.

Kremlin telah bertahun-tahun berusaha untuk memperdalam integrasi dengan Belarus, tetapi orang kuatnya Alexander Lukashenko menentang penyatuan secara terang-terangan dengan Rusia walaupun menjadi sekutu utama.

Putin memuji hubungan antara “sekutu terdekat dan rakan strategik… disatukan oleh sejarah dan nilai kerohanian yang sama.”

“Kami bersama-sama menentang sekatan daripada negara yang tidak mesra,” kata Putin, “dan kami buat dengan yakin dan berkesan.”

Rusia dan Belarus bersetuju untuk memperkukuh kerjasama “dalam semua bidang”, tambah presiden Rusia itu.

Ini termasuk sektor ketenteraan, kerana kedua-dua negara bersetuju mengenai “langkah bersama untuk keselamatan kedua-dua negara”, meneruskan latihan bersama dan “penyampaian senjata bersama”.

Rusia akan terus melatih kru Belarusia untuk menerbangkan pesawat yang boleh membawa kepala peledak nuklear, kata Putin.

“Kami telah uji pesawat itu,” kata Lukashenko, menambah “ini bukan ancaman kepada sesiapa.”

Pemimpin Belarus itu turut memuji hubungan negaranya dengan Rusia.

“Rusia tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa kami, kami tidak boleh buat apa-apa tanpa Rusia,” kata Lukashenko.

“Adakah kita mampu melindungi kemerdekaan dan kedaulatan kita tanpa Rusia? Tidak!” tambahnya.

Putin telah menggunakan wilayah Belarus sebagai landasan pelancaran untuk serangan ke atas Ukraine.

Pada Oktober, Belarus mengumumkan pembentukan pasukan serantau bersama Moscow, dengan beberapa ribu askar Rusia tiba di negara bekas Soviet itu, mencetuskan kebimbangan Minsk juga boleh menghantar tentera ke Ukraine. – AFP, 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen