KETUA Parlimen Eropah telah menjemput Elon Musk untuk memberi keterangan di hadapan badan perundangan, kata jurucakapnya pada Isnin.
Speaker parlimen, Roberta Metsola telah mengirim surat kepada jutawan itu dengan jemputan untuk hadir.
Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memaksa Musk hadir, dan jawapannya setakat ini masih belum diketahui.
Musk, pemilik syarikat kenderaan elektrik Tesla, telah mencetuskan pergolakan dan kontroversi sejak mengambil alih Twitter pada Oktober dengan harga AS$44 bilion.
Beliau telah menarik perhatian pembuat dasar Amerika Syarikat (AS) dan Eropah selepas memecat separuh daripada kakitangan Twitter, mengembalikan semula akaun bekas presiden AS Donald Trump, menggugurkan dasar menentang maklumat salah Covid-19, melarang – kemudian mengembalikan semula – beberapa akaun wartawan di Twitter.
Suruhanjaya Eropah telah memberi amaran kepada Musk yang beliau dia berhadapan risiko “sekatan” Kesatuan Eropah (EU) atas ancaman terhadap kebebasan media.
Pada Isnin, Musk mengadakan tinjauan pendapat di Twitter bertanya sama ada beliau harus kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Sebanyak 57.5 peratus pengguna memilih “Ya” beliau perlu letak jawatan.
Harga saham Twitter telah menjunam sebanyak satu pertiga sejak beliau mengambil alih platform itu. Pengiklan telah berundur dari Twitter atas pergolakan itu. – AFP, 20 Disember, 2022.
Komen