RCEP, CCFTA sokong pertumbuhan Kemboja dalam jangka masa sederhana, kata IMF


TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Isnin memaklumkan bahawa pakatan perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Kemboja-China (CCFTA) akan menyokong pertumbuhan ekonomi Kemboja untuk jangka masa sederhana lapor Xinhua.

Ekonomi Kemboja diunjurkan mencapai lima peratus pada 2022 dan hampir 5.5 peratus pada 2023, mencerminkan tekanan luar dan beberapa halangan daripada sudut hartanah dan pembinaan, menurut IMF dalam laporan terbaharunya.

Menurut laporan itu, pemulihan ekonomi yang kukuh daripada wabak pandemik disokong oleh ekonomi negara yang mampan dan tindak balas krisis yang teguh.

Pertumbuhan dijangka meningkat kepada lebih enam peratus pada 2024, dan beransur-ansur kembali kepada kadar pertumbuhan trend sekitar 6.5 peratus dalam jangka masa sederhana.

Sementara itu, kadar inflasi dijangka mencapai 5.8 peratus tahun ini sebelum menurun kepada 3.5 peratus tahun hadapan.

“Walaupun krisis Covid-19 akan memberi kesan yang berlarutan, pembaharuan berterusan dilaksanakan pihak berkuasa (seperti contoh undang-undang pelaburan yang mewujudkan satu titik hubungan untuk pelabur) dan perjanjian perdagangan baharu (RCEP dan FTA dengan China) akan menyokong pertumbuhan dalam jangka masa sederhana,” menurut IMF.

RCEP dan CCFTA mula berkuat kuasa pada Januari 2022.

RCEP terdiri daripada 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota Asean, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam termasuk lima rakan dagangan mereka iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. – Bernama, 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen