PANEL penyiasat serangan Capitol di Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengesyorkan bekas presiden Donald Trump didakwa atas tuduhan jenayah termasuk pemberontakan.
Jawatankuasa pilihan Dewan Perwakilan menggesa supaya beliau didakwa selepas siasatan selama 18 bulan terhadap serbuan terhadap Kongres pada 6 Januari 2021, selain tuduhan menghalang prosiding rasmi dan konspirasi untuk menipu Amerika Syarikat.
Sekurang-kurangnya lima orang maut selepas perusuh menyerang Capitol akibat dakwaan palsu Trump tentang penipuan pilihan raya, yang mengarahkan mereka berarak ke Kongres, selepas beliau kalah pilihan raya presiden 2020.
Pemberontakan itu dibuat bagi menghalang peralihan kuasa kepada Presiden Joe Biden.
Jawatankuasa dwipartisan mengundi sebulat suara untuk merujuk dakwaan itu kepada Jabatan Kehakiman selepas ucapan perasmian oleh naib pengerusi Liz Cheney yang mendakwa Trump “secara jelas mengabaikan tugasnya.”
Seruan Liz itu dibuat kerana Trump gagal menghentikan rusuhan. Beliau turut menggelar bekas presiden AS itu sebagai “tidak layak untuk mana-mana pejabat.”
“Tiada sesiapa pun yang akan berkelakuan seperti itu yang boleh berkhidmat dalam mana-mana jawatan dalam negara kita lagi,” katanya.
Rujukan itu dilihat sebagai simbolik kerana hak untuk mendakwa terletak di tangan Jabatan Kehakiman.
Jack Smith, pendakwa khas yang dilantik Peguam Negara Merrick Garland, mengetuai siasatan secara sendiri terhadap Trump berkaitan pilihan raya presiden pada 2020.
Langkah penggubal undang-undang itu bagaimanapun dilihat bersejarah, kerana Kongres tidak pernah membuat tuduhan jenayah terhadap seseorang yang sedang memegang jawatan mahupun terhadap bekas presiden.
Ia juga merupakan tamparan besar kepada Trump di tengah beberapa siri kesilapan selepas beliau mengumumkan untuk bertanding kembali sebagai presiden.
Dakwaan terhadap Trump itu boleh mengakibatkan beliau dilarang memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Kepercayaan dalam sistem kita adalah asas demokrasi Amerika. Jika kepercayaan itu rosak, begitu juga demokrasi kita. Donald Trump memecahkan kepercayaan itu,” kata ahli jawatankuasa pemilih Bennie Thompson. – AFP, 20 Disember, 2022.
Komen