Pengusaha harap kerajaan benar operasi tapak khemah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Garis panduan yang wajar dan betul perlu diwujudkan bagi operasi tapak perkhemahan untuk meminimumkan risiko semasa aktiviti rekreasi keluarga ini. – Gambar Facebook, 20 Disember, 2022.

PENGUSAHA tapak perkhemahan berharap kerajaan masih membenarkan mereka beroperasi pada waktu puncak seperti musim cuti sekolah pada masa ini bagi mengelak kerugian besar.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan sepatutnya mencari jalan tengah yang menguntungkan semua pihak termasuk pengunjung dan pemilik tapak perkhemahan.

Rayuan tersebut ekoran arahan kerajaan supaya semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi menghentikan operasi selama tujuh hari.

Arahan itu bagi mengelak kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 24 orang setakat ini di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor berulang.

Seorang pengusaha tapak perkhemahan, Azizan Yunus berkata arahan menghentikan operasi untuk tempoh yang lama akan mengakibatkan mereka kerugian berjuta-juta ringgit.

“Ada 300 tapak perkhemahan di negara ini, untuk penutupan operasi selama tiga hari pada waktu puncak, pemilik menanggung kerugian sebanyak RM3,000. Itu hanya untuk kos tapak,” katanya.

Pemilik Asia Camp Sdn Bhd itu menjangka seluruh tapak berkenaan akan menanggung sehingga RM900,000 bagi tempoh tersebut.

“Jadi daripada melanjutkan arahan henti operasi baik kerajaan mewujudkan jalan tengah. Kami tidak minta bantuan kewangan, cuma permudahkan urusan kelulusan lesen.

“Jadi dalam proses permohonan lesen, kerajaan secara langsung dapat meneliti faktor risiko di setiap tapak perkhemahan.

“Yang mana tidak sesuai atau berisiko tinggi, jangan pertimbangkan untuk lesen. Ini langkah menang-menang untuk semua pihak,” katanya.

Menurut Azizan, satu ada garis panduan yang wajar dan betul juga perlu diwujudkan bagi operasi tapak perkhemahan untuk meminimumkan risiko semasa aktiviti rekreasi keluarga ini.

Katanya, pihak berkuasa juga harus meletakkan peraturan piawaian yang betul mengenai aktiviti perkhemahan selain syarat kelulusan lesen yang lebih relevan.

“Kerajaan perlu segera memanggil pihak berkepentingan dalam industri untuk mengemukakan garis panduan bagi pengusaha tapak khemah, serta mewujudkan persekitaran lebih selamat.

“Garis panduan itu berguna untuk pengusaha kem, perkhemahan, pihak berkuasa dan juga peserta aktiviti perkhemahan. Kita boleh minimumkan risiko dengan mengikuti garis panduan.

“Kami berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan kami pengendali bagi mengeluarkan garis panduan khusus untuk perkhemahan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengurus pusat perkhemahan di utara semenanjung yang enggan namanya disebut pula melihat, arahan henti operasi oleh kerajaan wajar diikuti semua pihak.

“Tetapi, kerajaan juga perlu meneliti lokasi tapak khemah itu berada, jika selamat dan jauh dari lereng bukit, kawasan banjir, mereka wajar dipertimbangkan untuk operasi,” katanya.

Keadaan lokasi tanah runtuh di Batang Kali yang meragut 24 nyawa. – Gambar Twitter, 20 Disember, 2022.

Jelasnya, arahan pada 16 Disemberi itu menyebabkan mereka terpaksa membatalkan tempahan dan memulangkan bayaran kepada peserta.

“Majoriti daripada kami kini sudah memulangkan balik wang deposit, ia bukan saja mengakibatkan kerugian kepada kami tetapi juga industri pelancongan domestik di sekitar kawasan perkhemahan.

“Ia sebenarnya satu rantaian ekonomi,” katanya.

Seorang lagi pengusaha pusat perkhemahan di Selangor yang jauh dari lokasi tanah runtuh di Batang Kali berpendapatan arahan henti operasi oleh kerajaan agak mengelirukan.

“Tiada arahan secara formal dikeluarkan dan ada menteri persekutuan menyatakan untuk daerah Batang Kali sahaja.

“Yang jelas sekarang di Pulau Pinang, Alor Setar. Kami cuma harap satu arahan yang jelas dikeluarkan untuk kemudahan semua pihak,” katanya.

Arahan oleh Menteri Hal Ehwal Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dikeluarkan kepada 155 pihak berkuasa tempatan.

Susulan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Negeri Sembilan, Selangor mengambil keputusan menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi.

Ia termasuk lereng bukit serta air terjun berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Seramai 61 mangsa selamat manakala sembilan lagi mangsa masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang melanda tapak perkhemahan di Batang Kali.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada guru dan pelajar SJKC Mun Choong, Kuala Lumpur serta waris mereka. – 20 Disember, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen