HARGA minyak meningkat pada Isnin selepas China mengurangkan sekatan Covid-19 serta rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk membeli balik minyak untuk Rizab Petroleum Strategiknya (SPR) yang mendorong sentimen permintaan lebih baik, lapor Anadolu.
Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent didagangkan pada AS$79.50 setong pada 10.29 pagi waktu tempatan (0729 GMT), peningkatan 0.58% daripada harga penutupan AS$79.04 setong pada sesi dagangan sebelumnya.
Penanda aras Amerika West Texas Intermediate (WTI) pula didagangkan pada AS$74.92 setong, menokok 0.61% selepas penutupan sesi sebelumnya pada AS$74.46 setong.
China baru-baru ini melonggarkan sekatan Covid-19 dan menghentikan ujian secara besar-besaran dan hanya merekodkan kes positif di hospital dan klinik demam.
Walaupun negara itu melaporkan kematian pertama berkaitan Covid-19 dalam tempoh beberapa minggu pada Isnin, pelonggaran langkah ketat semasa negara itu meningkatkan harapan untuk mengukuhkan permintaan.
Sementara itu, unjuran permintaan kukuh terus meningkat selepas AS mengumumkan bahawa ia akan mula membeli semula minyak mentah untuk rizab kecemasannya pada Februari.
“Belian semula ini membuka peluang untuk memperoleh tawaran yang baik kepada pembayar cukai Amerika dengan membeli semula minyak pada harga yang lebih rendah daripada harga purata jualan AS$96 setong, selain mengukuhkan jaminan tenaga,” menurut kenyataan Jabatan Tenaga.
Keputusan itu akan memberi jaminan kepada pengeluar minyak mentah Amerika untuk membuat pelaburan segera memandangkan harga minyak yang mereka terima apabila menjual kepada SPR sudah ditetapkan.
Ini merupakan peralihan daripada langkah Presiden Joe Biden pada Mac untuk mengeluarkan sejumlah 180 juta tong daripada SPR bagi menyokong pasaran minyak global yang menghadapi gangguan bekalan yang serius akibat perang Rusia ke atas Ukraine.
Menurut Jabatan Tenaga pembelian balik bermula pada Februari 2023. – Bernama, 19 Disember, 2022.
Komen