EU digesa bina tembok kawal kemasukan migran


Presiden EPP dan Ketua Kumpulan EPP di Parlimen Eropah Manfred Weber tidak menolak kemungkinan untuk membina tembok di sempadan EU bagi mengelakkan krisis baharu migran. – Gambar AFP, 19 Disember, 2022.

PRESIDEN Parti Rakyat Eropah (EPP) dan Ketua Kumpulan EPP di Parlimen Eropah Manfred Weber tidak menolak kemungkinan untuk membina tembok di sempadan Kesatuan Eropah (EU) bagi mengelakkan krisis baharu migran, lapor Sputnik.

Bercakap dalam temu bual dengan penerbit Jerman Funke Mediengruppe, Weber berkata bahawa EU mesti meningkatkan kawalan sempadan di laut dan darat jika perlu tembok harus dibina untuk mengawal jumlah ketibaan pendatang.

Weber memberi amaran bahawa jika EU tidak bertindak sekarang krisis membabitkan pendatang baharu tidak dapat dielakkan.

Eropah mengalami krisis kebanjiran pendatang sejak 2015 disebabkan oleh kemasukan ribuan migran dan pelarian dari negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara.

Migran cuba untuk sampai ke negara-negara EU menggunakan pelbagai laluan termasuk melalui Itali, Greece, Turkiye dan Balkan. 

Konflik Ukraine memburukkan lagi keadaan mendorong berjuta-juta orang meninggalkan negara itu. 

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lebih 7.8 juta pelarian dari Ukraine tinggal di Eropah pada 1 November. – Bernama, 19 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen