Kapal tentera laut Thai karam, 31 anak kapal hilang


Kapal Tentera Laut Diraja Thailand (Royal Thai Navy, RTN), HTMS SUKHOTHAI tenggelam di kawasan perairan Teluk Siam, tengah malam Isnin. – Gambar AFP, 19 Disember, 2022.

SERAMAI 31 anak kapal Tentera Laut Thailand hilang hari ini selepas kapal mereka karam di pantai tenggara Thailand, kata jurucakap tentera laut.

Kejadian berlaku ketika HTMS Sukhothai melakukan rondaan di Teluk Thailand kira-kira 20 batu nautika dari jeti Bang Saphan di selatan Prachuap Khiri Khan.

Misi menyelamat dijalankan selepas sistem elektronik kapal itu rosak dengan gambar-gambar yang dikongsi oleh tentera laut menunjukkan kapal itu tenggelam.

“Kami masih mencari 31 yang hilang,” kata jurucakap tentera laut Laksamana Pogkrong Montradpalin sambil menambah kapal itu tenggelam selepas tengah malam.

“Air laut memasuki melalui ekzos pada sisi badan kapal dan menyebabkan sistem bekalan elektrik gagal berfungsi,” katanya pagi tadi.

Satu kenyataan berkata 75 daripada 106 anak kapal itu diselamatkan dalam operasi menyelamat melibatkan dua helikopter seahawk, dua frigat dan satu kapal amfibia.

Operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 7 pagi sedang dijalankan, tambah kenyataan itu.

Kira-kira 11 anggota tentera laut sedang dirawat di hospital Bang Saphan manakala 40 lagi ditempatkan di pusat perlindungan. – AFP, 19 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen