10 hospital di Kelantan belum terjejas banjir, kata Pengarah JKNK


Menurut Dr Zaini terdapat beberapa petugas kesihatan yang tidak dapt hadir bertugas susulan banjir. – Gambar Facebook, 19 Disember, 2022.

SEPULUH hospital di Kelantan termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas dengan banjir, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata sebagai persiapan semua hospital dipastikan untuk menyediakan bekalan asas bagi memastikan mampu beroperasi dalam situasi bencana banjir.

“Sekiranya terdapat hospital yang kemungkinan terputus hubungan jalan raya disebabkan banjir, bantuan sumber atau pemindahan pesakit boleh dilaksanakan dengan bantuan udara. Kami mengenal pasti tempat bagi pendaratan helikopter sekiranya diperlukan.

“Malah, persiapan kami bagi pesakit kritikal yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan pindah lebih awal di hospital yang tidak terjejas banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata apabila musim banjir berlaku terdapat beberapa petugas kesihatan yang tidak dapat hadir bertugas berikutan kediaman mereka dinaiki air, laluan ke tempat bertugas tersekat dan sebagainya namun ia tidak menjejaskan operasi di hospital terbabit.

“Seperti semalam, Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh berlaku limpahan air berikutan hujan lebat sehingga memasuki perkarangan hospital namun ia surut pagi ini dan operasi berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata bagi mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pasukan kesihatan akan turut menjalankan aktiviti seperti memeriksa kebersihan persekitaran pusat pemindahan, memantau dan memeriksa kualiti air minum, menjalankan aktiviti pengklorinan dan disinfeksi bekalan air serta memeriksa kehadiran dan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Pasukan Kesihatan Mental dan Tindakan Psikososial pula akan menjalankan aktiviti seperti menjalankan kaunseling kepada mangsa banjir bagi kes-kes kematian, kehilangan harta benda, ibu hamil dan pesakit berisiko yang akan dipindah masuk ke hospital,” katanya. – Bernama, 19 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen