Twitter bakal sekat pengguna promosi platform sosial saingan


TWITTER pada Ahad mengumumkan ia tidak lagi membenarkan penggunanya mempromosikan akaun platform media sosial saingan termasuk Facebook dan Instagram, namun pemiliknya Elon Musk kelihatan menarik balik dasar baharu itu beberapa jam kemudian.

Peralihan mendadak dalam peraturan itu yang terbaharu dalam siri perubahan kontroversi dibuat Musk sejak beliau mengambil alih syarikat itu pada Oktober.

Beberapa siri pergolakan menyebabkan semakin ramai pengguna menggalakkan pengikut masing-masing mengikuti siaran mereka di platform lain.

Jutawan itu malah meletakkan masa depannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twitter sebagai undian.

“Perlukah saya berundur sebagai ketua Twitter?” soalnya, meminta pengguna untuk mengklik ya atau tidak.

“Saya akan patuh kepada keputusan tinjauan ini,” tambahnya, dengan undian dibuka sehingga awal pagi Isnin.

Twitter telah mengumumkan syarikat itu “tidak lagi membenarkan promosi percuma platform media sosial tertentu.”

“Pada kedua-dua peringkat Tweet dan peringkat akaun, kami akan mengalih keluar sebarang promosi percuma platform media sosial pihak ketiga, seperti memaut keluar (iaitu menggunakan URL) ke mana-mana platform di bawah di Twitter, atau menyediakan pemegang anda tanpa URL,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

Oleh itu, pengguna akan dihalang, sebagai contoh, daripada menyiarkan “Ikuti saya @nama pengguna di Instagram,” kata Twitter.

Pengasas bersama Twitter Jack Dorsey mempersoalkan dasar baharu itu dengan tweet satu perkataan: “Kenapa?” – AFP, 19 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen