PERDANA Menteri Britain Rishi Sunak pada Isnin akan mengumumkan pakej artileri baharu yang gah untuk Ukraine semasa mesyuarat bersama rakan sejawatannya dari Nordik, Baltik dan Belanda di Riga.
Sunak akan tiba di Latvia pada Isnin untuk mesyuarat tersebut yang akan membincangkan usaha untuk menentang pencerobohan Rusia di wilayah Nordik dan Baltik bersama rakan-rakan anggota Pasukan Ekspedisi Bersama (JEF).
Sunak dijangka menyeru para pemimpin mengekalkan atau mengukuhkan lagi tahap sokongan 2022 untuk Ukraine pada 2023, kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat perdana menteri.
Beliau juga akan mengumumkan United Kingdom (UK) bakal membekalkan “ratusan ribu peluru artileri tahun depan di bawah kontrak £250 juta (AS$304 juta) yang akan memastikan aliran peluru artileri kritikal yang berterusan ke Ukraine sepanjang 2023”, kata kenyataan itu.
UK telah mendahului dalam “menyediakan bantuan pertahanan kepada Ukraine termasuk menghantar Sistem Roket Pelancaran Pelbagai dan baru-baru ini 125 senjata antipesawat”, katanya.
“Kami juga telah menyediakan lebih 100,000 butir peluru sejak Februari, dengan penghantaran dikaitkan secara langsung dengan kejayaan operasi untuk merebut semula wilayah di Ukraine,” tambahnya. – AFP, 19 Disember, 2022.
Komen