IRAN sudah bersedia untuk melancarkan “sekurang-kurangnya dua satelit” ke angkasa lepas pada hujung Mac, kata Menteri Telekomunikasi Issa Zarepour.
Amerika Syarikat (AS) telah berulang kali menyuarakan kebimbangan yang pelancaran sebegitu boleh meningkatkan teknologi peluru berpandu balistik Iran, menjangkau potensi penghantaran kepala peledak nuklear.
Namun Iran menegaskan pelancaran satelit dan roketnya adalah untuk tujuan sivil atau pertahanan sahaja.
“Satelit Nahid 1 dan Nahid 2 sedang disediakan,” kata Zarepour seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA sebagai berkata.
Nahid adalah nama yang diberikan kepada siri satelit telekomunikasi yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Angkasa Iran.
Menurut Zarepour, “kami akan mengadakan pelancaran menjelang akhir tahun,” 20 Mac dalam kalendar Parsi.
Pada awal November, televisyen negara Iran mengumumkan “pelancaran suborbital yang berjaya bagi satelit bernama Ghaem-100”.
Ghaem-100 dihasilkan oleh organisasi aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam dan ia merupakan pelancar satelit bahan api pepejal tiga peringkat pertama di negara itu, kata saluran itu.
Iran berjaya meletakkan satelit ketenteraannya yang pertama ke orbit pada April 2020 yang mendapat teguran Washington.
Pada Ogos tahun ini, sebuah lagi satelit Iran, bernama Khayyam, telah dilancarkan oleh Rusia dengan menggunakan roket Soyuz-2.1b dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.
Agensi angkasa lepas Iran berkata peranti itu dibina oleh Rusia di bawah seliaan Iran. – AFP, 19 Disember, 2022.
Komen