Bomba temui 4 petunjuk baharu insiden tanah runtuh Batang Kali


Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar (tengah) bergambar bersama anggota penyelamat selepas melawat kawasan tanah runtuh di Batang Kali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Disember, 2022.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata penggunaan radar penembusan tanah (GPR) itu sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.

“GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.

“Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR itu mungkin kesan objek lain di point itu. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata tujuh kenderaan yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada Jumaat lalu direkod nombor plat pendaftarannya bagi mengenal pasti pemiliknya.

Beliau berkata, polis akan meneliti semua nombor plat berkenaan untuk melihat jika ia berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.

“Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta yang terbabit,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan diteruskan.

Norazam berkata walaupun tiada pergerakan tanah di lokasi SAR dikesan setakat petang ini, pasukan pencarian diminta berwaspada dengan risiko tanah lembut, ekoran cuaca hujan yang menyebabkan adanya aliran air.

“Keselamatan pasukan menjadi keutamaan ketika ini. Dalam keadaan ini kita arahkan anggota untuk kurangkan pergerakan masing-masing dan hanya berada di lokasi yang disektorkan sahaja serta tidak buat sebarang pergerakan agresif.

“Ketika ini, sektor A adalah tempat paling berisiko kerana berada di kawasan cerun, manakala sektor B dan C berada di kedudukan hampir sama dan kurang pergerakan tanah di situ,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan mayat yang ditemui, Norazam berkata kebanyakannya dalam keadaan hampir sempurna.

“Hampir semua 24 mayat yang ditemui berada dalam keadaan hampir sempurna, kira-kira 90%,” katanya.

Walaupun pergerakan tanah sedikit membahayakan pasukan SAR, Norazam berkata situasi itu memberikan kelebihan dalam membantu kerja pencarian.

“Kebanyakan mayat ditemui pada kedalaman 1 hingga 2 meter, dan disebabkan oleh pergerakan tanah, mangsa tertolak ke depan. Jadi, ia memudahkan untuk pasukan kesan mangsa dibantu penggunaan pengorek.

“Pada hari pertama dan kedua pengorek digunakan, pasukan berjaya mengeluarkan masing-masing lapan dan tiga mayat. Selebihnya, kedudukan mayat yang terkeluar dari timbunan tanah, sehingga memperlihatkan anggota badan memudahkan operasi pengesanan,” katanya.

Beliau berkata operasi dihentikan kira-kira sejam pada jam 4.30 petang tadi ekoran hujan dan bersambung semula pada 5.30 petang, namun operasi itu kembali ditangguhkan pada jam 8.15 malam tadi susulan hujan lebat.

Tinjauan setakat jam 9 malam ini di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca kembali hujan lebat dan akses telekomunikasi turut terjejas. – Bernama, 18 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen