EU, negara anggota peruntuk €10 bilion bagi pelaburan infrastruktur Asean


SEBAGAI memperingati sambutan 45 tahun kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan Asean kesatuan itu dan negara-negara anggotanya mengumumkan peruntukan sebanyak €10 billion (€1 = RM4.69) sebagai sebahagian daripada kempen Global Gateway untuk mempercepat pelaburan infrastruktur di negara-negara Asean. 

Pakej ini akan menumpukan kepada program peralihan hijau dan kesalinghubungan mampan di Asia Tenggara disokong oleh dua Inisiatif Team Europe iaitu Inisiatif Kesalinghubungan Mampan dan Inisiatif Hijau Team Europe. 

Pelaburan itu akan menumpukan kepada sektor tenaga, pengangkutan, digitalisasi, pendidikan dan penggalakan rantaian nilai mampan.

Inisiatif ini akan menyokong peralihan Asia Tenggara kepada ekonomi hijau, memastikan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan penting, peluang ekonomi dan pekerjaan.

“Kita meraikan 45 tahun kerjasama antara dua rantau yang percayakan kepada multilateralisme dan sistem dunia yang berasaskan peraturan. Global Gateway akan mengukuhkan lagi perkongsian strategik kita.

“Inisiatif Kesalinghubungan Mampan akan mengukuhkan ekonomi Asean, mencipta peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin dalam perjuangan kita menangani perubahan iklim,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut akan menyokong sambungan grid elektrik Asean bagi menambah baik akses kepada tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam digitalisasi termasuk kesalinghubungan menerusi kabel dasar laut dan menggalakkan rantaian nilai mampan dari segi alam sekitar, ekonomi dan sosial. 

Selain itu ia juga akan mengukuhkan perkongsian EU dengan rantau tersebut dalam usaha tindakan iklim, alam sekitar dan perlindungan biodiversiti, peralihan tenaga bersih, daya tahan bencana, pencegahan pembalakan haram, penyeludupan hidupan liar dan pencemaran udara.

Ia menyediakan rangka kerja bagi tindakan hijau yang diselaraskan antara rakan kongsi Team Europe yang menyertai pakej itu dan negara-negara anggota Asean.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Asean-EU ke-10 bersempena dengan Sidang Kemuncak Peringatan Asean-EU ke-45 di Brussels sebagai mewakili menteri MITI Tengku Zafrul Abdul Aziz. 

Antara perkara yang diketengahkan Liew semasa sidang kemuncak itu adalah EU dan Asean perlu mengadakan lebih banyak sesi libat urus dalam memastikan perdagangan dan pelaburan dapat membantu mewujudkan kelas pertengahan di rantau ini. 

Beliau juga mencadangkan jurang kapasiti dan sumber antara kedua-dua blok itu dirapatkan menerusi pelbagai sokongan seperti pembiayaan bersasar, pindahan teknologi serta program pembinaan kapasiti. 

“Kedua-dua rantau perlu mengadakan lebih banyak sesi libat urus dalam beberapa bidang tokokan nilai tinggi bagi manfaat bersama kedua-dua ASEAN dan juga EU,” katanya. – Bernama, 18 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen