KETUA pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Johari Abdul, yang dijangka dicalonkan sebagai speaker Parlimen pada Isnin, mengosongkan kerusi DUN Gurun.
Bekas ahli Parlimen Sungai Petani tiga penggal itu mengumumkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada speaker DUN pada 13 Disember.
Johari akan dicabar bagi jawatan speaker oleh calon pilihan Perikatan Nasional (PN), bekas menteri dalam negeri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Timbalan pengerusi PH Kedah itu tidak bertanding pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Pemimpin berusia 66 tahun itu memenangi kerusi DUN Gurun pada 2018.
Ahli Parlimen akan mengundi untuk memilih speaker pada 19 Disember apabila Parlimen bermesyuarat buat kali pertama sejak pilihan raya umum ke-15 dan dijangka menang kerana kerajaan Perpaduan mempunyai 145 ahli dalam Parlimen 222 kerusi.
Johari, mendedahkan keputusannya untuk berhenti sebagai Adun Gurun dalam klip video berdurasi dua minit yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
“Saya Johari Abdul dengan ini memaklumkan kepada speaker bahawa saya mengosongkan kerusi DUN N20 Gurun yang saya wakili berkuat kuasa serta-merta.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah,” katanya.
Ini merupakan kali kedua namanya dicadangkan untuk jawatan speaker Dewan Rakyat.
Beliau adalah pilihan untuk jawatan speaker ketika PH berkuasa pada 2018 tetapi terpaksa memberi laluan kerana perlu meletakkan jawatan sebagai Adun Gurun, yang PKR tidak mahu beliau lakukan kerana keseimbangan kuasa yang lemah di sidang DUN Kedah.
Johari, penyokong tegar pembaharuan Parlimen adalah pengerusi jawatankuasa pilihan pertahanan Parlimen. Johari juga memperjuangkan Parlimen belia dan menganjurkan lebih banyak program untuk belia didedahkan dengan cara badan perundangan Malaysia.
Bekas menteri dalam negeri Radzi, seorang peguam, adalah ahli Bersatu, yang disertainya selepas Langkah Sheraton pada 2018, pernah bersama Umno sebelum ini.
Beliau kini merupakan senator di Dewan Negara dan mengangkat sumpah pada 17 Jun 2020.
Radzi membuat beberapa pembaharuan termasuk mengkaji semula secara meluas kanun keseksaan negara semasa memegang jawatan pada 2008. – 18 Disember, 2022.
Komen