Rampasan terbesar candu AS$50 juta di Kanada


POLIS Kanada merampas dadah jenis candu seberat hampir 2.5 tan metrik bernilai AS$50 juta yang disembunyikan dalam beberapa kontena transit di pelabuhan Vancouver, British Columbia.

Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA) berkata rampasan terbesarnya itu Jumaat lalu, namun tidak mendedahkan dadah itu tiba dari mana, serta sama ada ia membabitkan tangkapan.

Katanya, agen risikan CBSA bersama unit jenayah terancang Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP), menjalankan siasatan sejak September lalu terhadap kemungkinan operasi penyeludupan membabitkan kontena marin.

Menurut CBSA, hasil siasatan membabitkan 19 kontena sehingga hujung Oktober lalu mengesan kejanggalan pada palet perkapalan, yang digunakan untuk menyembunyikan barang seludup.

Vancouver adalah pelabuhan paling sibuk di Kanada, dan menjadi pelabuhan utama untuk kemasukan produk ke negara itu dari Asia.

Kemasukan candu ke Amerika Utara berterusan sejak bertahun lamanya, dengan kebanyakan di seludup dari Asia, dan semakin meningkat hingga menjadi cabaran kesihatan awam kepada Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Di AS, jumlah kematian akibat pengambilan dos berlebihan membabitkan individu berusia 10 hingga 18 tahun meningkat lebih dua kali ganda dari 2019 ke 2021, berdasarkan kajian Pusat Kawalan Penyakit AS. – AFP, 18 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen