Ombak aneh ragut 3 nyawa di Afrika Selatan


Ombak besar yang aneh meragut tiga nyawa dan menyebabkan 17 lagi cedera parah dalam satu insiden di pantai popular di Durban, Afrika Selatan, semalam. – Gambar Facebook, 18 Disember, 2022.

OMBAK besar yang aneh meragut tiga nyawa dan menyebabkan 17 lagi cedera parah dalam satu insiden di pantai popular di Durban, Afrika Selatan, semalam.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan wilayah itu KwaZulu-Natal berkata ombak besar itu menarik beberapa individu ke dalam laut hingga menyebabkan tiga lemas, manakala 17 cedera dibawa ke hospital.

Pihak berkuasa bandar Durban berkata antara yang terkorban termasuklah seorang remaja dan kanak-kanak tujuh tahun.

Menurut satu kenyataan, seramai 35 penyelamat pantai terbabit dalam usaha menyelamat besar-besaran, ketika pasukan perubatan merawat lebih 100 mangsa terbabit dalam insiden berkenaan.

Perkhidmatan kecemasan bandar khuatir angka korban mungkin meningkat. Kejadian berlaku kira-kira 5 petang waktu tempatan di Bay of Plenty, antara pantai paling popular di Durban.

Durban dalam proses membuka semula kawasan pantai secara berfasa selepas penutupan akibat penemuan bakteria E.coli yang tinggi daripada sistem pembetung bandar itu yang rosak teruk akibat banjir besar awal tahun ini.

Banjir itu meragut lebih 400 nyawa April lalu. – AFP, 18 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen