.jpg)
MENURUT Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Kata Muhyiddin Yassin lagi, undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat (ADR) untuk mengundi di Dewan Rakyat.
Perjanjian Persefahaman tersebut barangkali sesuatu yang baru di Malaysia tetapi agak biasa di beberapa negara seperti Denmark dan Sweden dan pernah ditandatangani antara parti-parti atau gabungan parti-parti politik di Britain, Canada dan New Zealand yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.
Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH tidak semestinya tidak berperlembagaan dan tidak sah hanya kerana satu atau dua klausa dalam perjanjian tersebut bercanggah dengan Perlembagaan atau undang-undang bertulis.
Klausa yang ‘haram’ – meminjam kata-kata Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin – boleh tidak berkuatkuasa tetapi perjanjian masih sah.
Perjanjian tersebut juga bukan menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti ADR tetapi sesuatu yang perlu dilakukan demi kestabilan kerajaan.
Walaupun dikritik, sekurang-kurangnya perdana menteri berani untuk berdepan dengan undi percaya di Dewan Rakyat.
*Hafiz Hassan, pembaca The Malaysian Insight
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen