Pejuang terima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi, kata Mukhriz


PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerima keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk berundur daripada jawatan Pengerusi parti berkenaan.

Presidennya Muhkriz Mahathir berkata seluruh anggota Majlis Eksekutif Pusat dan ahli parti serata negara menyanjung tinggi jasa, pemikiran, tunjuk ajar dan kepimpinan Dr Mahathir sepanjang memegang jawatan Pengerusi.

“Penghargaan yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Ayahanda Tun. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa beliau kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu dilaporkan Dr Mahathir, yang merupakan bekas Perdana Menteri, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang, parti yang ditubuhkan pada Ogos 2020.

Sementara itu, Mukhriz berkata Pejuang akan meneruskan perjuangan, legasi dan semangat Dr Mahathir demi agama, bangsa dan tanah air.

Pejuang juga, katanya, akan berusaha memastikan daya pemikiran dan cara kepimpinan Dr Mahathir yang berteraskan prinsip dan nilai budaya murni diteladani generasi pewaris perjuangan beliau.

“Walaupun telah berundur sebagai pengerusi, Tun kekal sebagai ahli Pejuang. Kami percaya Tun akan terus memberi pandangan membina dan kritis terhadap masa depan Malaysia sebagai seorang Negarawan unggul.

“Itulah yang diharapkan oleh semua penyokong Tun termasuk seluruh warga Pejuang selama ini,” katanya. – Bernama, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen