Ketua PBB kutuk serangan di Mali sasarkan anggota pengaman


Antonio menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Nigeria. – Gambar Facebook, 17 Disember, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya serangan di Mali yang mengorbankan dua anggota pengaman Nigeria dan mencederakan empat yang lain pada Jumaat, lapor Xinhua.

Seorang lelaki tidak dikenali menembak dan membunuh dua pegawai termasuk seorang wanita dari Misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Mali (MINUSMA) ketika mereka melakukan rondaan berhampiran bandar Timbuktu, menurut ketua misi El-Ghassim Wane.

Menerusi satu kenyataan, ketua PBB itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Nigeria.

Guterres mengingatkan serangan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB mungkin dikategori sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau menggesa pihak berkuasa Mali berusaha keras mengenal pasti pelaku serangan keji ini dan membawa individu berkenaan ke muka pengadilan.

Mali bergelut dengan pemberontakan bersenjata sejak 2012.

Beribu-ribu orang terbunuh dan ratusan ribu rakyatnya melarikan diri.

MINUSMA ditubuhkan pada 25 April 2013 oleh Resolusi Majlis Keselamatan 2100 bagi menstabilkan negara itu selepas pemberontakan Tuareg pada 2012.

Ia menjadi misi pengaman PBB paling berbahaya dengan lebih 200 pasukan pengaman terbunuh daripada 15,200 pasukan setakat ini. – Bernama, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen