Mayat budak perempuan ditemukan, korban tragedi Batang Kali kini 24 orang


Pasukan penyelamat telah menemukan satu lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali kira-kira pukul 4.05 petang tadi, menjadikan jumlah korban kini cecah 24 orang. – Gambar JBPM, 17 Disember, 2022.

SEORANG lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Batang Kali melibatkan kanak-kanak perempuan ditemukan menjadikan jumlah maut setakat ini seramai 24 orang.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata mayat kanak-kanak yang belum dikenal pasti umurnya itu ditemukan di kawasan pencarian Hillview (sektor A) pada 4.05 petang tadi.

“Mayat itu akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Batang Kali.

Setakat ini tujuh kanak-kanak disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh tersebut, 54 orang telah diselamatkan, manakala 7 lagi cedera dan memerlukan rawatan di hospital.

Seramai 94 orang direkodkan berdaftar dengan pengusaha tapak perkhemahan itu.

Sementara itu, Acryl Sani berkata pengusaha tapak perkhemahan yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, kini dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

“Seperti kita setuju tempoh hari, apabila kesemua mangsa sudah ditemukan, siasatan akan segera dijalankan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada siasatan yang dibuat ketika ini.

“Untuk makluman, saya telah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Baharudin Mat Taib untuk mengetuai siasatan berkaitan insiden ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama yang berada di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca di Batang Kali mendung. – Bernama, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen