Perjanjian kerajaan perpaduan, pseudo-demokrat dan politik Sistem Kangcu


ZAMAN dulu, “Sistem Kangcu” diguna pakai bagi mengawal disiplin kalangan peniaga gambir dan lada hitam di sekitar negeri di selatan tanah air. Nak meniaga boleh. Tapi mesti ada disiplin. Mesti ada sistem.

“Kangcu” (yang juga bermakna Tuan Sungai dalam bahasa Teochew) amat gembira jika diberikan hak untuk menanam gambir dan lada hitam. Ini komoditi mencanak mahal zaman itu. Barang mewah.

Namun nak mendapat “hak” dan kebenaran bukan mudah. Ada kontrak berjela yang kena dipersetujui. Macam-macam pantang larang. Ini cara menjaga “disiplin” zaman itu.

Rupa-rupanya sistem kangcu masih relevan masa ini. Cumanya, komoditi hari ini bukan lagi “gambir” dan “lada hitam”. Kangcu hari ini mengikat “kebebasan fikir” dan “tindakan” manusia.

Zaman ini pun sudah ada “Tuan Sungai”, kangcu yang menjaga jalur sokongan dan undian. Alasan Tuan Sungai – kita mahu menjaga ketenangan sungai selama lima tahun. Sungai jangan gelora. Susah Tuan Sungai mendapat laba.

Maka, semua “gambir” dan “lada hitam” zaman baru pun kena ikut cakap Tuan Sungai. Tak ikut, maka rosaklah masa depan mereka. Tuan Sungai zaman baru lebih ganas aturannya.

Ini agenda pseudo-demokrat yang membahu semangat kangcu. Amalan diktator? Mana mungkin! Ini “demokrat” kesayangan dunia. Cuma sistemnya, berorientasi “kangcu”.

Musim ini semuanya dihalalkan atas nama reformasi. Suara nak disekat. Tapi gagah menggelar diri “Sang Demokrat”.

Ini demokrasi ala kangcu zaman edan. Semuanya nampak mulia. Bebal pun tidak mengapa. Janji menyokong apa adanya.

Apa yang berlaku membawa segenap kekecewaan. Kemuliaan dewan, kebebasan fikir dan tindakan Ahli Dewan disekat dengan peraturan ala-kangcu dikuasai Tetuan Sungai yang kemaruk kuasa.

Tetuan Sungai yang sebelum ini mencetus dan menggerak gelora; akhirnya mendapat untung dan laba. Ini masa memukat modal “gambir” dan “lada hitam” yang ditanam lama.

Kangcu zaman moden ini lebih dahsyat pukulannya. Sampai berfikir menentang arus pun menjadi dosa.

Berbahagialah Tuan-Tuan Sungai yang seronok bermain gambir dan lada. – 17 Disember, 2022.

* Alias Abdullah, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen