JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memasang sistem pengesan pengerakan tanah di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya di Batang Kali bagi memantau kemungkinan berlaku runtuhan susulan.
Pengarahnya Norazam Khamis berkata dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), peralatan itu dipasang di tiga lokasi sebagai langkah berjaga-jaga kerana keadaan runtuhan masih baharu serta faktor cuaca hujan yang boleh menyebabkan berlaku gelongsoran tanah.
“Berdasarkan pemerhatian fizikal tiada pergerakan tanah namun masih terdapat aliran air di kawasan runtuhan ini. Faktor tanah yang lembut dan aliran air tanah juga menyebabkan berlaku gelongsoran tanah.
“Langkah ini juga demi menjamin keselamatan anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di Batang Kali hari ini.
Selain itu, beliau berkata jumlah anggota dan pegawai di lapangan bagi operasi berkenaan turut dihadkan kepada 135 anggota atas risiko keselamatan namun ia tidak mengganggu skop serta proses pencarian.
Semalam dilaporkan kira-kira 700 anggota dan pegawai turut serta dalam operasi mencari mangsa tertimbus.
Dalam insiden 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.
Operasi SAR hari kedua bermula 8 pagi ini selepas ditangguh tengah malam tadi susulan hujan lebat.
Setakat hari ini, 23 mangsa yang terkorban ditemui sementara 10 lagi masih hilang. – Bernama, 17 Disember, 2022.
Komen